Assalamualaikum W.B.T,
Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut tahun baru Hijrah.
Bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1432 saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua muslimin muslimat khususnya para pembayar zakat Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Awal Muharram merupakan pembuka kepada tahun hijrah yang membawa erti sangat besar kepada seluruh umat Islam. Penghijrahan Rasulullah SAW daripada Makkah ke Madinah bukanlah hanya sebagai satu episod melarikan diri tetapi terselit padanya pengajaran yang sangat bernilai untuk dicontohi oleh kita semua. Kalau diteliti, keseluruhan perjuangan Rasulullah s.a.w. merupakan satu gabungan tindakan yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang tulen iaitu sentiasa berikhtiar, sabar dan tidak putus asa, dan sentiasa berserah kepada Allah SWT.
1 Muharram pada tahun ini akan disambut pada 7 Disember 2010 (Selasa). Bersempena dengan bermulanya kalender tahun baru ini, marilah kita bersama-sama mengubah sikap dan memperbaharui azam untuk terus maju dengan melipatgandakan usaha. Islam melarang sama sekali umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang menggolek tanpa berusaha. Pernah pada satu ketika sekumpulan orang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Sesungguhnya Si Anu berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, serta memperbanyakkan ingatan kepada Allah". Maka sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapakah di antara kamu yang menanggung makan minumnya?" Jawab mereka: "Kita semua". Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kamu semua adalah lebih baik daripadanya".
Akhir kata di kesempatan ini saya mengucapkan "Selamat Menyambut Awal Muharram 1432H". Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Semoga segala usaha kita mendapat keredhaan di sisiNya.
Wassalam
No comments:
Post a Comment